Cari Blog Ini

Jumaat, 11 Februari 2011

PERINGKAT-PERINGKAT NAHI MUNGKAR (rujukan : Ihya’ Ulumuddin - Imam Ghazali)

1)     Memberi Penerangan
Maksudnya ialah memberikan penerangan kepada orang yang hendak dicegah perbuatannya. Hal ini kerana, ada kalanya seseorang yang melakukan sesuatu kemungkaran itu tidak mengetahuinya atau kerana kebodohan. Sehingga apabila seseorang itu diberitahu, mungkin mereka akan meninggalkannya. Oleh sebab itu, sebagai peringkat yang pertama, wajiblah dilakukan dengan memberikan penerangan terlebih dahulu dengan ramah tamah.
                Mungkin dengan penerangan itu akan menyebabkan terbukanya kesalahan atau mungkin menyakitkan hati, maka sebaik-baiknya hal ini dilakukan dengan lemah lembut. Kita semua sebenarnya dilahirkan tanpa mengtahui apa-apa, lalu para alim ulaman yang mengajarkan ilmu kepada kita, mana-mana yang benar dan mana-mana yang salah. Cara inilah yang harus digunakan. Dengan demikian, penerangan itu dapat kita sampaikan dengan tanpa menyakiti hati sesiapa atau membuka rahsia seseorang.
                Ingatlah menyakiti hati seseorang Muslim hukumnya adalah haram dan dilarang oleh agama, tetapi membiarkan seseorang melakukan kemungkaran juga dilarang dan tidak dibenarkan. Bagi seorang yang berakal, tentulah tidak akan mencuci darah dengan darah atau dengan air kencing.
Apabila seseorang mencegah kemungkaran dengan cara yang menyakitkan,  akan menyebabkan hati mereka menjadi tidak senang dan juga memberikan kesan yang tidak baik. Contohnya, seperti orang yang mencegah kemungkaran dengan cara yang keras atau kata-kata yang keras.

2)     Memberi nasihat
Melarang seseorang daripada melakukan kemungkaran memberikan nasihat, petunjuk yag baik serta menakut-nakutkan mereka dengan azab seksaan Allah SWT. Hal ini perlu dilakukan kepada mereka yang berani melakukan kemungkaran, sedangkan dia sendiri mengetahui bahawa yang dilakukannya itu jelas suatu kemungkaran. Misalnya, seseorang yang sudah biasa minum arak, suka menganiaya orang lain, mengumpat sesama kaum Muslimin dan lain-lain lagi.
Orang yang demikian perlu dinasihatkan dan takutkan mereka dengan seksaan Allah SWT. banyak sekali berita yang menunjukkan cara orang yang terdahulu, mereka melakukan perkara yang sedemikian iaitu menakut-nakutkan orang yang melakukan kemungkaran dengan seksaan Tuhan. Bahkan, hal yang sedemikian itu juga dianggap sebagai ibadat bagi orang-orang yang bertakwa kepada Allah SWT.
Menasihati seseorang itu wajib dilakukan dengan lemah lembut, rasa kasih sayang, bukan dengan kekerasan, sikap marah dan apa-apa sahaja yang menyebabkan kemarahan orang lain. Orang yang bersalah mestilah dipandang dengan pandangan belas kasihan dan rahmat.

3)     Melarang
Melarang dan mencegah dengan kekerasan iaitu dengan nada paksaan, tetapi hendaklah menghindari perkataan yang kasar dan tidak sopan. Hal ini hanya akan dilakukanapabila sikap lemah lembut tidak memberikan kesan sama sekali. Tambahan pula, apabila mereka yang dicegah itu menunjukkan sikap menentang dan trus melakukan kemungkaran seakan-akan meremehkan dan mempersendakan nasihat dan petunjuk yang diberikan.
Cara dan kaedah ini pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS terhadap umatnya dengan ucapan sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Quran, Surah Al-Anbiya’ ayat 67 ang bermaksud:
“ Jijik perasaank terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?”
Sekali lagi perlu diingatkan, bahawa cara ini walaupun perlu dilakukan, hendaklah dijauhi perkataan-perkataan yang kotor, caci maki, tidak sopan atau melampaui batas. Dalam peringkat ini ada dua jenis adab sopan menasihati seseorang yang melakukan kemungkaran, iaitu:
i)       Jangan–jangan tergesa-gesa melakukan cara ini, kecuali apabila merasakan adanya keperluan yang sangat mendesak, dan digunakan apabila cara pada peringkat kedua tidak berjaya mendatangkan hasil yang diharapkan.
ii)     Hendaklah perkataan yang digunakan itu semuanya benar, ringkas dan tidak melencong daripada tujuan yang terlalu berbelit-belit. Hendaklah menjauhi perkataan yang tidak diperlukan dan perkataan yang tidak ada hubungannya dengan tujuan dan maksud. Jadi, hendaklah perkataan itu ringkas tetapi memberi kesan yang mendalam di hati seseorang yang melakukan kemungkaran itu.

4)     Melarang dengan kuasa
Cara ini hendaklah dilakukan sebagai usaha yang terakhir. Misalnya dengan menggunakan tangan seperti membuang arak, merosakkan alat yang digunakan untuk melakukan kemungkaran, yang dimiliki oleh mereka yang melakukan kemungkaran itu atau menjauhkan diri mereka daripada kemungkaran itu sehingga tidak dapat melakukannya lagi.
 Bagi rakyat biasa, mereka hanyalah berhak untuk menolak atau sekuat-kuatnya ialah dengan menggunakan tangan. Tetapi, bagi pihak penguasa negara atau pemerintah, mestilah mengunakan yang lebih daripada itu, baik dengan kekerasan tenaga atau undang-undang.
Misalnya, menutup kilang membuat atau memproses arak, merosakkan alat-alat kemungkaran, menghapuskan tempat pelacuran dan sebagainya. Hal ini dapat juga dilaksanakan dengan pertimbangan hakim yang berkuasa, seperti memenjarakan mereka yang melakukan kemungkaran itu atau memukulnya sebagai hukuman. Semua ini menjadi kewajipan pemerintah dan pegawai-pegawainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan