Cari Blog Ini

Rabu, 8 September 2010

Fitrah Manusia terhadap kewujudan PENCIPTA.

FITRAH merupakan sifat, perasaan dan rasa semulajadi atau kata mudah, memang sudah tersedia. Antara fitrah manusia adalah seperti makan, minum, tidur. Tiada manusia di dunia ini hidupnya tanpa makan minum dan tidur. Selain daripada itu, fitrah perasaan manusia itu adalah akan rasa sedih bila berlaku musibah, gembira apabila mendapat berita yang membahagiakan. Begitu juga, manusia itu akan rasa dalam dirinya akan kewujudan MAHA PENCIPTA DIRINYA dan ALAM ini. Ini kerana rasa itu adalah fitrah.

Walaupun ada yang menafikan, dengan mengaku akan dirinya sebagai golongan aties ( tidak percaya kewujudan tuhan), namun di sudut hati kecil mereka pelbagai persoalan yang timbul yang mengaitkan kejadian diri mereka dan kewujudan alam ini. Antara persoalan yang sering timbul adalah bagaimana diri ini terjadi, siapa yang menciptanya, kenapa aku dijadikan, apa akan terjadi selepas aku mati, siapa yang mengurus alam ini, dan banyak lagi.

Kejadian manusia terdiri daripada jasmani dan rohani. Kedua-dua ini mempunyai tuntutan tersendiri. Setiap tuntutan itu adalah untuk mencapai kesejahteraan dan kestabilan. Jasmani memerlukan makanan, minuman, tidur dan lain-lain lagi yang boleh dirasai, difahami dan dilihat dengan mata kasar. Jika semua ini tidak dipenuhi, seseorang itu tidak rasa selesa lalu membawa kepada masalah kesihatan. Namun, ramai yang tidak sedari akan tuntutan rohani. Rohani juga mempunyai tuntutan yang perlu dipenuhi bagi mengekalkan kestabilannya. Fitrah rohani manusia itu adalah untuk mencapai ketenangan. Oleh itu, apakah yang diperlukan rohani untuk mencapai ketenangan itu?

Rohani adalah unsur yang mengandungi roh. Roh adalah datang terus daripada Allah swt.,tuhan yang mencipta alam ini. Fitrah kejadian roh itu adalah bersifat mulia dan kudus. Oleh itu tuntutan roh itu adalah berkait dengan perintah yang Maha Agong seperti SOLAT, PUASA, dan ZAKAT. Lebih banyak amalan ini dilakukan, maka semakin tinggi tuntutan rohani itu dapat dipenuhi. Apabila tuntutan ini dipenuhi, rohani manusia menuju kepada ketenangan yang sebenar. Seperti tuntutan jasmani, menuju kepada kesihatan yang ideal.

Oleh itu, tuntutan kedua-dua ini; jasmani dan rohani, perlu dipenuhi dengan seimbang. Keseimbangan ini akan membawa manusia memiliki rasa yang amat bahagia walau di mana sahaja kedudukan mereka sama ada petani, ahli perniagaan, tukang cuci dan menteri. Rasa bahagia ini akan menjadikan setiap langkah dimuka bumi ini adalah mudah. Kebahagiaan dan kemudahan yang dirasai ini adalah pantulan keadaan kita di akhirat nanti..... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan